Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri

0 13

Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri

Daerah Sandakan memiliki banyak lokasi tarikan pelancong seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Gua Gomantong serta beberapa pulau yang menawarkan keunikan serta keindahan alam semula jadi.

Tempat menarik lain untuk dilawati jika berkunjung ke daerah di pantai timur Sabah ini ialah Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri yang terletak di lereng bukit di Jalan Lebuh 6, bandar Sandakan. Masjid ini disenaraikan antara bangunan bersejarah.

Dikenali sebagai Masjid Jamek Bandaran Sandakan sebelum ini, rumah ibadat itu dipercayai dibina sekitar tahun 1880-an dan pernah berperanan sebagai pusat pengajian agama terpenting ketika era pemerintahan British di Borneo Utara.

MASJID Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri yang terletak di lereng bukit di Jalan Lebuh 6, bandar Sandakan. – Foto Juzaimie Jazlan
Didirikan pedagang Yamen

Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri dikatakan sebagai masjid tertua di Sabah berikutan usianya lebih 130 tahun, namun masih teguh serta terus giat menjalankan pelbagai aktiviti ibadat dan dakwah bagi kalangan masyarakat Islam di Sandakan serta persinggahan pengunjung luar.

Uniknya, masjid ini masih mengekalkan reka bentuk asal iaitu mimbar dan empat tiang seri di bahagian dalam ruang solat.

Difahamkan, masjid terbabit diasaskan oleh beberapa pendakwah dan pedagang dari Yemen dengan kos pembinaan turut disumbangkan oleh penduduk setempat ketika itu, selain ada juga cerita mengatakan ia dibina oleh penduduk tempatan berketurunan India Muslim.

Masjid berkenaan terletak di tapak penting yang menjadi warisan sejarah di Sandakan dinamakan Jejak Warisan Sandakan atau Heritage Trail menerusi aktiviti berjalan kaki yang menyediakan peluang kepada pelancong mendekati Sandakan.

Perang Dunia Kedua memusnahkan hampir setiap bukti kukuh Sandakan yang pernah dijadikan ibu negeri Borneo Utara British.

Bagaimanapun, masih ada saki baki peninggalan zaman kolonial itu yang menjadi panduan sejarah kepada penduduk Sabah dan juga mereka yang pernah mengembara ke daerah ini, termasuk masjid berkenaan.

Selain masjid yang terletak di permulaan laluan Jejak Warisan Sandakan itu, tarikan lain di tapak berkenaan ialah monumen warga British, William B Pryer, iaitu pengasas Sandakan dan Residen Pantai Timur Borneo Utara pertama, Rumah Agnes Keith, Pusat Pemerhatian Pavilion, Tokong Goddess of Mercy serta gereja Saint Micheal and All Angels. Bumbung kubah yang disokong empat tiang seri utama Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri yang terletak di lereng bukit di Jalan Lebuh 6, bandar Sandakan.

Penduduk Sandakan, Syed Ridzuan Sehan Assegaf, 36, berkata nama masjid itu ditukarkan daripada Masjid Jamek kepada Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri pada 6 Disember 1991 sempena guru agama terkenal di daerah itu yang juga datuk beliau.

“Sheikh Hasabollah banyak berjasa menjalankan aktiviti dakwah di masjid ini suatu ketika dulu.

“Masjid ini bukan sahaja memainkan peranan sebagai rumah ibadat, malah pusat pengajian agama terpenting di pantai timur Borneo Utara lebih 100 tahun lalu,” katanya.

Pengerusi Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri, Awang Japar, berkata walaupun masjid itu telah mengalami pelbagai perubahan, namun usaha dakwah seperti dilakukan sejak awal pembinaannya masih diteruskan.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi aktiviti seperti pengajian Al-Quran, kuliah maghrib subuh mingguan, kuliah Zuhur, bacaan tahlil dan surah yassin setiap malam jumaat.

“Sehingga kini, masjid ini menerima kunjungan orang ramai serta musafir, selain pelancong luar negara berikutan ia dimasukkan sebagai antara bangunan bersejarah di Sandakan.

“Setiap hari pasti ada pelancong dari Eropah, Korea, Jepun dan China datang ke kawasan masjid ini untuk bergambar,” katanya.

Selain rumah ibadat, masjid berkenaan dikatakan pernah dijadikan kawasan perlindungan oleh penduduk tempatan dan sebilangan kecil tentera Jepun daripada serangan tentera Australia ketika akhir Perang Dunia Kedua.

Source https://www.bharian.com.my https://www.bharian.com.my/node/133191
Comments
Loading...